suria

Bidang Robotik Akan Diperluaskan Ke 300 Sekolah Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan memperluaskan lagi kokurikulum dalam bidang robotik ke 300 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya pelajar di Malaysia mempunyai daya kreativiti yang sangat tinggi dalam bidang ini dan mampu berdaya saing dengan negara luar.

"Malaysia sudah dua kali menjadi juara secara berterusan dalam Kejohanan Robotik peringkat Dunia (WRO) pada tahun 2009 dan 2010 - menunjukkan satu petanda baik bahawa kesedaran dan minat dalam bidang robotik di kalangan para pelajar kita telah bercambah," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Pasukan Malaysia ke WRO 2011 yang akan berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 18 Nov hingga 20 November ini.

Sejumlah 16 pasukan bersama guru atau mentor masing-masing dengan 64 orang anggota akan bertanding dengan 35 buah negara dalam dua Kategori 'Regular' dan Kategori Terbuka yang bertemakan 'Robots for Life Improvement'.

Malaysia menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan WRO 2010 di Manila dengan meraih dua pingat emas, tiga pingat perak, satu anugerah khas dan dua anugerah kecemerlangan, mengulangi kejuaraan serupa pada tahun sebelumnya.

Wee berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi WRO 2012.

Mengenai wang perbelanjaan RM100 yang akan diedarkan kepada pelajar sekolah untuk memulakan sesi persekolahan tahun depan, Wee berkata wang tersebut akan diagihkan sebelum bermula cuti persekolahan bagi akhir tahun.

"Sabah dan Sarawak telah mulakan pengagihan dan kita hendak selesaikan proses ini sebelum cuti untuk memudahkan semua pihak," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain