suria

Polis Tahan Lima Lelaki Memandu Dalam Keadaan Mabuk

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan lima lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dalam Ops Mabuk yang dijalankan di Jalan Baru di sini awal pagi ini.

Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), DSP S. Manogaran berkata lima lelaki yang berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula dari pukul 1.30 pagi hingga 3 pagi.

"Sebanyak 60 pemandu kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan dan lima daripadanya ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Katanya lima lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam operasi berasingan, beliau berkata sebanyak 29 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi membanteras mat rempit dan samseng jalanan di Penanti di sini awal pagi ini.

Manogaran berkata operasi yang bermula dari pukul 11 malam hingga 1 pagi itu dibuat selepas menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang tidak tahan melihat sikap sesetengah penunggang yang menunggang sesuka hati tanpa menghiraukan undang-undang jalan raya.

"Sebanyak 60 motosikal diperiksa dalam operasi yang disertai empat pegawai dan 20 anggota polis itu," katanya.

Beliau berkata sebanyak lapan motosikal turut disita pada operasi berkenaan dan dibawa ke Balai Trafik SPT untuk siasatan lanjut.

Kata beliau anggotanya turut menyamar sebagai orang awam bagi menahan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"Operasi seperti itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain