suria

SUPP Sedia Terima Campur Tangan Pemimpin BN Dalam Pemilihan Presiden

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bersedia menerima campur tangan para pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam pemilihan jawatan presidennya bulan depan, kata timbalan setiausaha agung parti itu Datuk Sri Wong Soon Koh pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu akan hanya dipertimbangkan sekiranya pemilihan yang sedang diadakan di peringkat cawangan dan kemudian pemilihan presiden pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) parti itu, tidak dikendalikan secara adil, telus dan mengikut peraturan.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita apabila diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot tentang kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak patut campur tangan untuk mengelak parti itu mengalami perpecahan.

Riot, yang juga Timbalan Menteri Luar, berkata Najib patut membuat keputusan tertentu berhubung pertandingan yang bakal berlaku bagi jawatan presiden SUPP.

Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat negeri, dan Anggota Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin Fa Kui, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah membayangkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan itu.

Pada sidang media sama, Wong melahirkan kebimbangan tentang apa yang beliau sifatkan sebagai "manipulasi kumpulan tertentu di ibu pejabat SUPP" untuk menjamin kemenangan kumpulan mereka walaupun TDC belum diadakan. Katanya terdapat kes anggota daripada beberapa cawangan tidak dibenarkan mengundi di peringkat cawangan masing-masing.

Beliau berkata ada juga pemimpin tertentu yang cuba menggunakan jentera pemilihan parti untuk kepentingan peribadi.

"Di cawangan saya sendiri di Sibu, kami menerima borang pencalonan daripada kumpulan lawan yang mengandungi kesilapan dalam semua borang mereka.

"Saya tidak berani berkata sama ada ini disengajakan atau sebaliknya.

Tetapi, sekiranya jawatankuasa pemilihan peringkat cawangan membatalkan kelayakan mereka, kumpulan ini akan menuduh kami menutup pintu untuk mereka," katanya.

Wong berkata beliau berharap khabar angin bahawa sebuah kumpulan lawan sedang berusaha untuk "menguburkan" kumpulan Foochow dalam SUPP yang sebahagian besarnya berpusat di Sibu, adalah tidak benar.

"SUPP adalah parti pelbagai kaum. Kami tidak bersifat inklusif. Kami mahu semua kaum ada di dalamnya," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain