suria

SPRM Tidak Serbu Petronas

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjelaskan bahawa tiada serbuan dilakukan terhadap syarikat minyak dan gas negara itu dan tiada fail atau dokumen diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, lawatan SPRM adalah sebahagian daripada prosedur operasi standardnya selepas menerima aduan.

"Pegawai SPRM berada di ibu pejabat Petronas baru-baru ini untuk memudahkan prosedur laporan maklumat pertamanya, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard agensi itu berikutan sebarang aduan mengenai dakwaan salah laku," kata kenyataan itu.

Sebelum itu, terdapat portal berita melaporkan bahawa SPRM menyerbu Petronas minggu lalu selepas menerima maklumat berhubung dakwaan rasuah oleh juru perunding projek yang bekerja dalam usaha eksplorasi dan pengeluaran di perairan Malaysia.

"Petronas ingin mengulangi komitmen penuhnya dan berpegang kepada proses dan prosedur yang diiktiraf antarabangsa dalam proses tender dan kerja dan mempunyai dasar tidak bertolak ansur terhadap amalan rasuah," kata kenyataan itu lagi.

Artikel Lain