suria

Penduduk Kg Gempar Dikejutkan Bunyi Letupan

JOHOR BAHARU: Penduduk Kampung Wadihana di sini gempar apabila dikejutkan oleh satu bunyi letupan yang kuat awal pagi Sabtu. Letupan pada jam 7.15 pagi dipercayai berpunca daripada injap pelepas angin pada paip berukuran 80cm di sebuah lurang di Jalan Mohamad Taib di kampung itu.

Letupan itu menyebabkan permukaan jalan tar merekah teruk dan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan terhumban 0.3048 meter dari tempat asal dan mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Syed Najib Syed Yassin, 46, berkata beliau dan keluarganya baru hendak bersarapan apabila dikejutkan bunyi dentuman tersebut.

"Bunyi kuat macam bom, dentuman tu sekali saja, tiada gegaran atau sebagainya," katanya yang meluru keluar rumah sebaik letupan itu berlaku.

"Saya rasa ia disebabkan tekanan yang kuat pada paip bawah tanah itu menyebabkan jalan ini pecah," katanya sambil menambah bekalan air dari paip itu telah terputus sejak semalam kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan berdekatan kawasan tersebut. Pemilik kereta yang rosak, Ismail Abdullah, 55, berkata menjadi kebiasaan meletakkan kenderaannya di jalan itu.

"Mulanya saya sangka pokok tumbang, tapi apabila keluar rumah saya dapati, jalan telah meletup dan kesannya terkena kereta saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ), Jamaluddin Jamil mengakui pihaknya melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan itu sejak beberapa hari lalu dan letupan berpunca daripada injap pelepas angin paip itu yang terbuka.

Angin yang keluar dari injap berkenaan meningkatkan tekanan udara di dalam lurang itu menyebabkannya meletup.

"Ini adalah kejadian pertama dan siasatan akan dilakukan, kita berharap penduduk tidak berasa bimbang, manakala pemilik kereta boleh hadir ke pejabat SAJ bagi tindakan susulan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain