suria

Lebih Banyak Ciri Bandar Selamat Akan Disediakan - Chee Heung

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyediakan lebih banyak ciri-ciri bandar selamat di kawasan-kawasan kediaman di seluruh negara bagi memastikan kadar jenayah jalanan dapat dikurangkan.

Menterinya Datuk Seri Chor Chee Heung berkata untuk menjadi bandar selamat, sesuatu kawasan itu perlu mempunyai 15 ciri-ciri keselamatan dan kebanyakan kawasan di negara ini mempunyai hanya enam ciri keselamatan termasuk cermin keselamatan, lampu jalan tambahan, rel penghadang antara pejalan kaki dan pengguna motosikal dan kamera litar tertutup (CCTV).

"Kawasan betul-betul bandar selamat yang kita ada sekarang ini adalah Ara Damansara 1 dan Desa Park City di Kuala Lumpur, serta Setia Eco Park, Shah Alam. Baru-baru ini kerajaan putuskan untuk jadikan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur sebagai bandar selamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bandar Selamat dan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di sini, Sabtu.

Katanya ketika ini kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM64 juta untuk menyediakan ciri-ciri bandar selamat terutama pemasangan CCTV di kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai "kawasan panas".

"Tahun lepas dan tahun ini, kementerian saya membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memasang 496 CCTV di "hotspot". Untuk Kedah sahaja kita pasang CCTV di kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani dan Majlis Perbandaran Langkawi. Semua dapat 16 CCTV," katanya.

Katanya pemasangan rel penghadang yang memisahkan antara pengguna motosikal dan pejalan kaki akan dapat mengurangkan kes jenayah jalanan seperti ragut dan rompak.

"Saya berharap kita akan dapat mewujudkan lebih banyak bandar selamat tidak lama lagi. Kajian yang dibuat di kawasan-kawasan yang ada ciri-ciri bandar selamat didapati jenayah jalanan telah dikurangkan hingga 50 peratus," katanya.

Chor berkata walaupun rakyat Malaysia mendakwa kadar jenayah di negara ini tinggi tetapi kajian menunjukkan sebaliknya.

"Kadar jenayah untuk 100,000 penduduk di Malaysia adalah 697 kes jenayah. Kalau kita tengok Hong Kong bagi 100,000 penduduk adalah 1,168. Kajian Global Peace Index tahun lepas, Malaysia adalah negara paling selamat di Asia Tenggara. Di Asia Pasifik kita nombor empat selepas New Zealand, Jepun dan Australia. Di dunia, kita di nombor 19 daripada 153 negara," katanya.

Sementara itu, Chor berkata kementeriannya telah bersetuju supaya dibina pasar baru bagi menggantikan pasar awam sedia ada di Jalan Telok Wanjah yang dikenali sebagai "pasar koboi". "Tahun lepas MBAS buat permohonan untuk bina pasar baru. Jabatan Kerajaan Tempatan di kementerian telah teliti permohonan dan didapati boleh sokong untuk pasar baru.

"Kita telah setuju supaya kerja-kerja permulaan dapat dilaksanakan MBAS dan peruntukan itu akan turut melalui ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) Jabatan Pembangunan negeri," katanya.

Katanya pada mulanya kos pembinaan pasar baru itu adalah RM4 juta tetapi MBAS telah buat perancangan melebihi RM4 juta dan kerana itu kementerian terpaksa menelitinya semula. -BERNAMA

Artikel Lain