suria

Kereta Terbakar, Dua Rentung

KUANTAN: Dua rentung apabila kenderaan dinaiki melanggar sebatang pokok sebelum terbakar di Kilometer 47 Jalan Kuantan-Maran dekat Kampung Gelugor di sini, Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira 1 petang tadi, kenderaan jenis Toyota Harrier yang dipandu seorang wanita dan penumpang lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

Pegawai Operasi Balai Bomba Taman Tas, Zurin Mamat berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 2.14 petang selepas 30 minit menerima panggilan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata setibanya di tempat kejadian, kereta itu telah terbakar keseluruhannya.

"Kami mengambil masa kira-kira tiga minit bagi memadam api dan terpaksa memotong beberapa bahagian kereta berkenaan bagi mengeluarkan mayat yang tersepit," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu. Beliau berkata kedua-dua mayat yang rentung itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata pihaknya belum mengenalpasti identiti kedua-dua mangsa dan siasatan masih dijalankan berhubung punca kemalangan itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Mat, 50, berkata ketika kejadian, dia yang sedang berehat dalam rumahnya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum keluar melihat apa yang berlaku.

"Sebaik keluar dari rumah, saya melihat sebuah kereta melekat di sebatang pokok kira-kira 100 meter dari rumah saya," katanya.

Ahmad berkata dia kemudian berlari mendapatkan bantuan beberapa jirannya namun tidak dapat mendekati kenderaan itu yang tiba-tiba meletup dan terbakar. -BERNAMA

Artikel Lain