suria

Kemalangan Di Yan: Tiga Lelaki Maut, Dua Wanita Mengandung Parah

YAN: Tiga lelaki maut manakala dua wanita hamil cedera parah apabila sebuah kereta yang dinaiki empat orang merempuh seorang pejalan kaki lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Batu 13, Bukit Besar di Jalan Sungai Petani-Alor Setar dekat sini awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu, kereta jenis Satria Neo berkenaan dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk sedang menghala dari arah Alor Setar yang tiba-tiba melanggar seorang pejalan kaki sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu berkata kejadian itu menyebabkan pemandu Eiew Eng Khoon, 28, dan penumpang di sebelah pemandu Ooi In Too, 47, serta pejalan kaki itu maut di tempat kejadian.

"Mangsa yang berjalan kaki ini kita tidak tahu datang dari arah mana malahan identitinya pun belum dapat dikenal pasti lagi memandangkan tiada dokumen pengenalan diri bersamanya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya dua penumpang wanita di bahagian belakang kereta yang cedera parah dalam kejadian itu dikenali sebagai Lee Pa Mei, 30, dan Man Shut Kyi, 31, kedua-duanya dipercayai warga Myanmar.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk dibedah siasat manakala dua wanita yang cedera parah ini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya.

Ismail berkata polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah HSB Dr Juita Ghazali berkata Lee mengandung empat bulan manakala Man mengandung lima bulan.

Sementara itu, anak perempuan Ooi, Ketty Ooi Zi Qian, 24, yang bekerja di Pulau Pinang berkata dia mendapat panggilan berhubung kejadian yang menimpa ayahnya itu kira-kira 3.30 pagi daripada bapa saudaranya.

Ketty berkata kali terakhir dia berjumpa dengan ayahnya yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini, minggu lalu. "Saya ada datang jumpa ayah yang tinggal seorang diri di Sungai Daun dekat sini sebab mak dengan ayah saya tinggal berasingan memandangkan mereka sudah berpisah beberapa tahun lalu. Saya bersama seorang lagi adik perempuan tinggal bersama ibu di Alor Setar," katanya.

Adik perempuan Ketty, Ooi Zi Ting, 13 pula berkata minggu lalu ayahnya ada menyatakan hasrat untuk membawanya pergi bercuti pada musim cuti sekolah nanti sebelum kemalangan itu.

Ayah pemandu, Eiew Gin Geoh, 53, dari Simpang Tiga, Sungai Limau dekat sini berkata sebelum kejadian dia ada menelefon anak lelakinya itu kerana pulang lewat ke rumah.

"Lepas itu dia cakap kata nak balik tetapi saya tunggu tidak balik-balik menyebabkan saya mengambil keputusan untuk keluar pergi cari di sekitar kawasan Sungai Limau dan dalam lingkungan 10 minit saya ada nampak orang ramai (kemalangan)," katanya.

Gin Geoh berkata setelah melihat ramai orang, dia menghampiri tempat kejadian dan melihat kemalangan itu membabitkan anaknya yang sewaktu itu tersepit dalam kereta. -BERNAMA

Artikel Lain