suria

Bomba Letakkan Banyak Anggota & Kelengkapan Hadapi Banjir Buruk

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat telah meletakkan kira-kira 10,000 anggotanya dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir buruk melanda beberapa negeri berikutan keadaan cuaca ketika ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata jabatan itu turut menyediakan 535 bot yang akan diagihkan ke negeri-negeri terlibat selain 464 penyelam jika berlaku sebarang kemalangan seperti lemas ketika banjir.

"Tujuh helikopter disediakan untuk meronda kawasan-kawasan terlibat. Bagi negeri Kedah, seramai 655 anggota dikerahkan untuk membantu ketika banjir selain 18 orang anggota skuad skuba termasuk penyelam untuk bersiap sedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bandar Selamat dan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di sini, Sabtu.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai satu agensi di bawah kementerian berkenaan perlu membuat persediaan bagi menghadapi banjir buruk yang mungkin berlaku terutamanya di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

"Berdasarkan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi. hujan turun amat lebat ketika ini berbanding tahun lepas dan kemungkinan besar 40 peratus melebihi tahun lepas. Kerana itu jabatan itu perlu lebih bersedia tidak kira di negeri mana banjir berlaku. "Perkara ini jelas mendapat perhatian kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri. Kerja-kerja menyelamat perlu dilakukan segera jika banjir berlaku. Ramalan Jabatan Meteorologi, antara 25 hingga 28 November ini air di sungai-sungai di mana-mana tempat dijangka tinggi," katanya.

Chor berkata jabatan itu akan memainkan peranan besar dalam membantu mangsa banjir, yang mana ia akan diselaraskan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat akan turut mendapatkan bantuan bomba-bomba sukarela dengan di Kedah sahaja ada 35 pasukan bomba sukarela.

Katanya jabatan itu sememangnya bersedia untuk menghadapi banjir setiap tahun menerusi langkah-langkah yang diambil tetapi banjir yang terlalu buruk di Kedah dan Perlis tahun lepas menyebabkan langkah persediaan yang lebih, perlu dilakukan.

"Kejadian banjir teruk tahun lalu ada yang pertama bagi kerajaan negeri (Kedah dan Perlis) tetapi kali ini mereka juga sudah lebih bersedia jika berlaku banjir teruk.

"Tahun lepas adalah pengalaman pahit bagi kita. Kerana itu kita tambah anggota tahun ini untuk bersiap sedia. Banyak langkah-langkah lagi sedang kita lakukan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain