suria

Tuanku Mizan Berkenan Rasmi Masjid UTeM

MELAKA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat berkenan merasmikan masjid baru Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini yang boleh memuatkan seramai 4,000 jemaah.

Seri Paduka yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusof; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakub merangkap Canselor UTeM dan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.

Baginda kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama pemimpin negeri dan rakyat jelata di masjid tersebut.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Sementara itu, Mohd Ali dalam teks ucapan beliau berkata, masjid adalah sebuah institusi masyarakat yang penting dalam memajukan umat Islam membabitkan pelbagai aspek kehidupan.

"Kewujudan masjid dalam pusat pengajian tinggi adalah satu simbol perencanaan strategik yang mengambil kira sejarah kehebatan peradaban Islam terdahulu," katanya.

Jelas beliau, melalui pembangunan masjid ini pelbagai aktiviti dapat dijalankan terutamanya dalam pembangunan sahsiah pelajar demi mengimbangi kestabilan rohani, emosi dan jasmani.

Pembinaan Masjid Sayyidina Abu Bakar bermula pada 1 Mei 2007 dan membabitkan kos RM15.3 Juta dengan keluasan tanah 4 hektar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain