suria

Tsu Koon Sedia Serah Jawatan Pengerusi BN P. Pinang Kepada Parti Komponen Lain

PETALING JAYA: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau sentiasa bersedia untuk menyerahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kepada individu yang boleh diterima oleh parti komponen BN lain.

"Calon itu mesti diterima oleh parti komponen lain dan berupaya mengemudi mereka bersama-sama," katanya kepada media selepas memberi ucapan pada Persidangan Perpaduan Nasional di Subang Jaya di sini, Khamis.

Koh berkata pelantikan pengerusi BN negeri adalah hak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN.

"Saya mengatakan jika terdapat keperluan untuk menyerahkan...tidak ada masalah. "Jadi tunggu jika ada apa-apa pengumuman, saya akan memberikan pandangan dan juga lain-lain parti komponen akan memberikan pandangan mereka...ia adalah proses perundingan. "Apabila saya dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan mengambil alih jawatan pengerusi BN negeri pada 1990 ada khabar angin yang menyatakan saya akan hanya bertahan selama 100 hari...jadi sejak dari hari itu saya telah cukup bersedia," katanya. Sementara itu Koh berkata, perpaduan adalah satu proses yang tidak pernah berakhir. "Jabatan Perpaduan Nasional kini sedang aktif melatih mediator daripada pelbagai kumpulan dan agama jadi dengan itu mereka mempunyai pemahaman jelas dan dapat mengurangkan konflik tentang pandangan dan amalan," katanya.

Koh berkata persidangan Perpaduan Nasional adalah cara unik mempamerkan patriotisme dengan mengetengahkan empat ahli politik muda mengetepikan perbezaan mereka untuk bertemu generasi muda Malaysia pada persidangan yang bertujuan untuk mencari cara-cara memupuk empati dan mengeratkan perpaduan di Malaysia.

Dianjurkan oleh Yayasan 1Malaysia dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) persidangan itu menampilkan empat anggota Parlimen iaitu Khairy Jamaluddin (BN), Teo Nie Ching (DAP), Masiung Banah (BN Sabah) dan Yusmadi Yusoff (PKR) sebagai penceramah manakala peserta terdiri daripada mereka yang bekerja, penuntut universiti, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan media. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain