suria

Peneroka Cedera Selepas Bergelut Dengan Penyamun

KUANTAN: Seorang peneroka cedera di bahu kiri selepas bergelut dengan seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong sayur yang memasuki rumahnya di Felda Jengka 10, Bandar Jengka dekat Maran, awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, 62, sedang nyenyak tidur bersama isterinya, 50-an, di dalam bilik utama manakala anak perempuannya, 16, dan ibu mertuanya, 70-an, pula tidur di ruang tamu rumah.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata mangsa tiba-tiba terjaga dari tidur dan ternampak kelibat seorang lelaki yang menutup muka dengan kain berada dalam biliknya sambil memegang telefon bimbit.

Katanya mangsa menyangkakan itu adalah anaknya namun terkejut apabila mendapati dia adalah orang yang tidak dikenali bersenjatakan pisau pemotong sayur.

"Mangsa bertindak menerkam suspek lalu berlaku pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian belakang bahu kirinya," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Noor Asyikin berkata pada masa itu juga mangsa ternampak seorang lagi suspek di ruang tamu rumahnya yang turut menutup muka. Katanya kedua-dua suspek tersebut kemudiannya bertindak melarikan diri menggunakan pintu dapur menuju bahagian belakang rumah mangsa.

Siasatan awal mendapati suspek masuk ke rumah mangsa melalui tingkap dapur yang telah dipotong besinya.

Menurutnya mangsa yang cedera menerima lima jahitan manakala isteri, anak serta ibu mertuanya tidak diikat dan dicederakan.

Katanya mangsa kehilangan tiga buah telefon bimbit yang bernilai RM1,000 dan pihak polis masih mengesan kedua-dua suspek berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain