suria

Kerajaan Tidak Pernah Pandang Rendah Masalah Kaum India - Najib

KLANG: Kerajaan tidak pernah memandang rendah permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat kaum India di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan telah membantu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh masyarakat India sejak beberapa tahun lepas seperti masalah dokumen pengenalan diri. "Kerajaan mempunyai jawatankuasa khas bagi menangani masalah kaum India dan justeru tidak ada sebab untuk masyarakat India tidak mahu menyokong kerajaan," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2011 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Jawa di sini.

Najib berkata kerajaan mungkin buat sedikit kesilapan pada masa lepas tetapi ia telah mempelajarinya dan amat memahami kaum India dan akan melakukan yang terbaik untuk kaum itu. "Kita tidak mangambil mudah masyarakat India," katanya.

Katanya sebagai wakil masyarakat India dalam BN, Presiden MIC Datuk G.Palanivel serta pemimpin MIC yang lain akan dibantu dalam usaha menangani segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat itu.

Najib juga berkata perpaduan kaum yang masih utuh di negara ini dapat digambarkan meenerusi kehadiran semua kaum yang memeriahkan acara rumah terbuka seperti Deepavali.

Beliau melahirkan perasaan gembiranya apabila hampir 24,000 rakyat dari pelbagai kaum dan agama menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali itu melebihi anggarannya awal pada sekitar 10,000 orang sahaja.

"Deepavali yang dianggap sebagai Pesta Cahaya oleh penganut Hindu membawa satu pengertian bermakna pada malam ini kerana ia membawa semua kaum berhimpun di majlis pada malam ini, katanya.

Najib berkata Malaysia kini menjadi semakin makmur walaupun di tengah-tengah kelembapan ekonomi dunia kerana rakyatnya bersatu padu. Beliau berkata rakyat Malaysia sentiasa disajikan dengan berita mengenai bilangan pekerjaan yang banyak serta peruntukan untuk rakyat bertambah.

"Ini berbeza daripada apa yang didengari berlaku di negara lain di mana rakyat menunjuk perasaaan kerana kehilangan kerja, gaji mereka dipotong, pencen dikurangkan dan peruntukan untuk pendidikan dipotong, katanya.

Justeru itu, Najib berharap rakyat Malaysia termasuk kaum India memberi keyakinan serta kepercayaan yang tinggi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)untuk terus mentadbir negara ini.

Terdahulu pada majlis itu, Najib menyalakan pelita manakala isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta beberapa menteri kabinet yang hadir menabur bunga sebagai simbolik perasmian majlis rumah terbuka Deepavali itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain