suria

Tiga Lelaki Dipenjara, Didenda Kerana Tipu, Ubah Wang Haram

IPOH: Pengait kelapa, penjual ayam dan kerani swasta masing-masing dihukum penjara antara enam hingga sembilan tahun dan denda sehingga RM370,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis selepas didapati bersalah menipu kononnya bagi mendapatkan kawasan balak di Felda Lawin Selatan, Gerik serta terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

Mohd Tahir Isa, 55, Mat Riadzi Ismail, 51 dan Badrul Hisham Zainal Abidin, 44, dituduh secara bersama-sama dengan niat yang sama telah menipu Abdul Raof Abdul Kadir dan Soo Ah Chai @ Soo Seng Hoi dengan secara curang, yang mendorong Soo Seng memberikan wang tunai RM210,000 bagi mendapatkan Soo Seng kawasan balak di Felda Lawin Selatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Tapas, The Oyster Bar, Hotel Micasa, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 8.30 malam, 31 Januari 2005.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa lakukan kesalahan yang sama melibatkan wang tunai RM105,000 bagi mendapatkan kawasan balak yang sama. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada pukul 9 malam 5 Februari 2005.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan jumlah wang tunai yang sama bagi mendapatkan kawasan balak yang sama. Kesalahan itu didakwa dilakukan di The Verandah Cafe, Hotel Federal, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 10 malam, 18 Februari 2005.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh masing-masing dihukum enam tahun penjara dan denda RM140,000 bagi semua pertuduhan. Badrul Hisham turut dihukum satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, Mohd Tahir turut dituduh menipu Soo Seng dengan curangnya sehingga mangsa menyerahkan cek tunai bernilai RM300,000 untuk tertuduh mendapatkan kawasan balak yang sama. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Garden Terrace, Casuarina Hotel, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini pada 5 petang, 11 Mac 2005.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda sebanyak RM80,000, jika gagal membayar denda tertuduh boleh dipenjara lapan bulan.

Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak tertuduh yang masing-masing diwakili peguam Manjit Singh dan Hanif Hassan yang mahu mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana kesemua tertuduh mahu merayu ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Hakim Tan Hooi Leng mahu kesemua mereka membayar denda yang telah dinyatakan serta diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, Mat Riadzi juga menghadapi dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memasukkan wang RM70,000 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaunnya bernombor 1089012794 di Southern Bank Berhad Cawangan Bercham, Ipoh yang beralamat 194 Jalan Bercham pada 8 Februari 2005. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan wang RM90,000 ke dalam akaun dan bank sama pada 21 Februari 2005. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM70,000 bagi pertuduhan pertama, jika gagal membayar serta-merta tertuduh boleh dipenjara tujuh bulan manakala denda M90,000 bagi pertuduhan kedua dan jika gagal boleh dipenjara sembilan bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar balik hasil aktiviti haram terbabit iaitu RM148,555.34 dan jika gagal, tertuduh dikenakan penjara setahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain