suria

Suruhanjaya Sekuriti Semak Data Dagangan Pertukaran Saham MAS-AirAsia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyemak semula semua data dagangan janji niaga pertukaran saham antara cabang pelaburan negara Khazanah Nasional Bhd dan Tune Air Sdn Bhd dalam Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia Bhd.

"Kami menyemak semula semua data dagangan dan kami akan membuat keputusan selepas semakan dan penentuan penemuan kami," kata Pengerusinya Tan Sri Zarinah Anwar kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama beliau di Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa kelima, di sini, Khamis.

Beliau, bagaimanapun, berkata tiada tempoh masa bagi siasatan itu.

Minggu lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu Dewan Rakyat bahawa SC dan Bursa Malaysia telah membuat penyiasatan berkaitan janji niaga pertukaran saham antara MAS dan AirAsia.

Beliau berkata siasatan itu juga akan melihat kemungkinan perdagangan orang dalam dan akan mengambil masa kerana ia melibatkan banyak akaun dan nilai yang besar.

Beliau juga berkata sekiranya siasatan oleh SC dan Bursa Malaysia menemui bukti perdagangan orang dalam, Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dijangka akan dipaggil untuk menyiasat.

Menyentuh isu lain, Zarinah berkata SC dan Bursa Malaysia mempunyai sistem pengawasan untuk memantau pergerakan harga semua kaunter yang tersenarai di bursa saham.

"Tindakan yang perlu akan diambil bergantung kepada hasil daripada aktiviti pengawasan," katanya semasa ditanya mengenai spekulasi dalam saham murah baru-baru ini termasuk Harvest Court Industries Bhd.

Zarinah juga menasihatkan pelabur agar lebih berhati-hati dan membuat keputusan pelaburan yang berdasarkan maklumat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain