suria

RM1.4 Bilion: Anwar Sangkal Penjelasan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Isu dakwaan kehilangan wang berjumlah RM1.4 bilion daripada Kumpulan Wang Luar Jangka (KWLJ) terus dipertikaikan apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal penjelasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang disifatkan cuba mengelirukan rakyat.

Menurut Anwar, secara praktikalnya laporan perbelanjaan kerajaan menggunakan KWLJ perlu sama antara laporan Ketua Audit Negara dengan buku perbelanjaan negara.

"Bila kita lihat laporan Ketua Audit Negara dan akaun akhir perbelanjaan tahunan...jumlahnya mestilah sama, ia tak boleh lari," katanya di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Pada Rabu Awang Adek menafikan dakwaan pembangkang bahawa peruntukan KWLJ menerusi bajet tambahan 2010 berjumlah RM1.4 bilion kononnya telah lesap.

Menurut Awang Adek, wang berkenaan telahpun dibelanjakan dibawah kuasa Menteri Kewangan pada tahun berkenaan dan dibentangkan sebagai belanjawan tambahan di Parlimen pada sesi persidangan Mac 2010.

Bagaimanapun Anwar berkata, perbentangan bajet tambahan seperti yang dimaksudkan Awang Adek itu bukanlah membabitkan peruntukan kewangan KWLJ.

"Perkara 68(a) Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada KWLJ. Kalau ini wang yang dimasukkan, ia hendaklah dibentang dan diputuskan dengan tidak boleh dibahas ia terkandung di bawah peruntukan berkenaan.

"Yang dibentangkan pada Mac, yang dikatakan belanjawan tambahan...itu belanjawan yang dibahaskan dan tak termasuk dalam wang luar jangka," katanya.

Selain itu Anwar turut menyifatkan kenyataan Awang Adek berhubung perbelanjaan wang berjumlah RM1.4 bilion berkenaan sekadar mahu menyembunyikan kelemahan kerajaan terutama dalam pengurusan kewangan.

"Urusan Perlembagaan, peraturan dan akaun yang nyata jangan dijadikan helah politik. Sepatutnya beliau jawab...ya ada kesilapan berlaku dan ini penjelasan kami.

"Ikut pengalaman saya, KWLJ dengan laporan ketua audit negara tidak pernah lari, dan ini adalah kali pertama berlaku," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain