suria

Rasuah: Pembantu Penguatkuasa JPJ Dipenjara

JOHOR BAHARU: Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menghadapi empat tuduhan rasuah, pada Khamis dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah melakukan perbuatan itu tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi Mohd Amir Ishak.

Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak mulai hari ini dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Mohd Amir, yang bertugas di Unit Siasatan dan Risikan Bahagian Penguatkuasa JPJ Johor di Taman Daya, di sini didapati bersalah menerima suapan RM1,300 melalui akaun Maybank di Maybank Cawangan Pasir Gudang pada 16 Julai 2008 dan menerima suapan RM2,000 melalui akaun yang sama pada 23 Julai, 2008.

Dia didakwa menerima kedua-dua suapan itu daripada Lim Choon Oh, 56, sebagai dorongan untuk menyelesaikan empat kes saman JPJ tanpa dibawa ke mahkamah. Bagi tuduhan ketiga dan keempat, dia didapati bersalah menerima suapan masing-masing RM1,000 melalui akaun dan di cawangan Maybank yang sama pada 9 Oktober, 2008 dan 5 November tahun yang sama daripada Lim, sebagai dorongan untuk menyelesaikan dua saman JPJ milik Rengit Lorry Sdn Bhd tanpa dibawa ke mahkamah.

Keempat-empat kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun, dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Nasir berkata mahkamah memandang berat kesalahan itu memandangkan ianya satu perbuatan yang keji.

Beliau juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan Mohd Amir diputuskan.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Amir, Rosli Kamaruddin memohon penangguhan itu dengan menyatakan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh tiga hari.

Katanya mahkamah perlu mengambil kira tempoh menjalani hukuman itu akan menjejaskan perkhidmatan anak guamnya sebagai penjawat awam walaupun sedang ditahan kerja dan ditangguh gaji.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ridzuan Abd Malik pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh demi menjaga kepentingan awam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain