suria

Pelajar Nigeria Dipenjara 10 Bulan Kerana Mencuri

KUALA LUMPUR: Mahkamah majistret di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara ke atas seorang pelajar Nigeria selepas dia mengaku bersalah mencuri peralatan barang ganti kereta berharga RM200 daripada sebuah kilang bulan lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Uzoma Hendry Ugonna, 30, menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 27 Oktober. Tertuduh mengaku mencuri barang peralatan tersebut, empat koil bahagian plug kereta daripada kilang Even Gain Global Sdn Bhd, Lot 2.3-2.5, Jalan Selangor, Jinjang Utara, Sentul, di sini 9.15 pagi pada 27 Oktober.

Uzoma didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Kesiksaan bagi kesalahan tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Semasa merayu terhadap hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam mendakwa masih belajar dan ini adalah kesalahannya yang pertama sementara bapanya meninggal dunia tiga bulan lepas.

Di mahkamah yang sama, seorang tukang kayu warga Bangladesh didenda RM200 selepas mengaku bersalah melintas di satu platform LRT di sini Isnin lepas.

Dikenali hanya sebagai Sharif, 35, dia dikatakan melakukan kesalahan tersebut di platform LRT Damai di Jalan Dato Keramat 1.09 tengah hari pada 7 November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain