suria

Melayu Jadi Minoriti Jika Berpecah Belah

KUALA LUMPUR: Orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti yang tidak mampu memperjuangkan hak mereka jika mereka terus berpecah belah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyatakan orang Melayu kini berpecah kepada tiga kumpulan, bekas Perdana Menteri itu berkata hanya dengan bersatu, orang Melayu boleh menjadi kumpulan majoriti yang berkesan untuk bertindak memelihara kepentingan mereka.

"Dulunya orang Melayu bersatu dalam satu parti hingga berjaya menentang (rancangan penubuhan) Malayan Union," katanya semasa menjawab soalan peserta yang hadir pada syarahan perdana oleh beliau bertajuk Pembinaan Tamadun dan Budaya Masyarakat Malaysia Ke Arah Pembentukan Sebuah Negara Maju, di sini Rabu. Dr Mahathir, 85, berkata suara orang Melayu akan tenggelam jika mereka berpecah menjadi beberapa kumpulan minoriti dan memerlukan sokongan pihak lain untuk mencapai hasrat perjuangan mereka memelihara bangsa sendiri.

Menyentuh mengenai kumpulan yang memperjuangkan hak asasi individu, Perdana Menteri Malaysia keempat itu berkata prinsip demokrasi yang asalnya mengutamakan hak majoriti kini mula mengetengahkan aspek hak asasi individu.

Katanya jika kebebasan individu dibenarkan tanpa batasan, ia bakal mewujudkan suasana yang tegang di dalam masyarakat.

Menurutnya, tindakan menunjuk perasaan atau berdemonstrasi adalah dibenarkan dalam demokrasi tetapi jika dilakukan secara besar-besaran tanpa batasan, ia boleh membawa kesan buruk seperti menjejaskan kegiatan perniagaan.

Dr Mahathir juga berkata adalah penting nilai diri yang baik dipupuk sejak kecil bermula dari rumah hinggalah ke alam persekolahan agar nilai mulia itu terus menjadi pegangan rakyat hingga dewasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain