suria

Masyarakat Mampu Bantu Basmi Gejala Penagihan Dadah

KUALA LUMPUR: Usaha membasmi gejala penagihan dadah boleh berjaya jika masyarakat turut sama dalam program yang dianjurkan kerajaan dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Setiausaha Antarabangsa, Persekutuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa (IFNGO) Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan, Hamzah Sidang Mohamad berkata masyarakat memainkan peranan penting sebagai orang tengah kepada penagih dadah bagi membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

"Hasil kempen kami dari akar umbi mendapati penglibatan masyarakat penting untuk menyedarkan penagih dadah ini untuk keluar dari kepompong gejala dadah.

"Kita berharap lebih ramai lagi masyarakat dapat menyertai program kesedaran untuk sama-sama memberikan kehidupan baru kepada penagih dadah," katanya selepas menghadiri persidangan IFNGO di sini, Rabu.

Katanya, sebagai contoh, golongan belia perlu didekati memandangkan mereka mempunyai suara dalam komuniti masyarakat dan berupaya menyeru orang ramai untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala tersebut.

Mengenai mekanisme Pemadam untuk memerangi gejala dadah, katanya setakat ini kempen kesedaran antara masyarakat diutamakan sebelum bersemuka dengan penagih untuk diberikan nasihat dan kaunseling.

Jelasnya, perkembangan dunia yang lebih moden dan terbuka memerlukan mekanisme baru bagi memerangi gejala dadah ini selain pendekatan kempen kesedaran antara masyarakat.

"Mekanisme baru ini bergantung kepada persekitaran dan keperluan semasa dan inilah yang akan kita bincangkan dalam persidangan ini," katanya.

Persidangan IFNGO selama empat hari itu, dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Australia Mengenai Dadah (ANCD) dengan kerjasama Pemadam.

Sebanyak 43 negara anggota IFNGO menyertai persidangan itu yang merupakan forum untuk pembuat dasar dan golongan profesional menggembleng kepakaran serta mencari langkah berkesan bagi memerangi dadah dan alkohol di rantau Asia Pasifik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain