suria

Lawatan Ke Palestin Diadakan Sebaik Keadaan Mengizinkan

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan lawatan rasmi ke Palestin sebaik sahaja keadaan mengizinkan berikutan penangguhan lawatan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 16 dan 17 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem berkata lawatan asal dibatalkan kerana faktor keselamatan.

"Hasrat itu dibincangkan antara pihak Malaysia dan Palestin ketika Sesi Ke-66 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berlangsung, tetapi terpaksa dibatalkan berikutan keadaan yang tidak selamat," katanya semasa menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) di persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.

Kamarudin ingin tahu bila lawatan tersebut akan dilakukan oleh Kementerian Luar.

Riot berkata semua pihak perlu faham bahawa lawatan rasmi ke Palestin adalah berbeza dengan lawatan ke negara lain kerana kehadiran rejim Israel.

"Ia nampak mudah tetapi bukan semudah itu. Tebing Barat, Palestin, diduduki rejim Israel dan delegasi juga perlu mendapat kebenaran Israel untuk masuk ke bandar Ramallah," katanya.

Beliau menjelaskan seseorang bukan sahaja terpaksa melalui sekatan jalan tetapi juga pemeriksaan tubuh badan, walaupun kebenaran melawat diberikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain