suria

Kerajaan Digesa Bayar Royalti Minyak Kepada Kelantan - Husam

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sekali lagi digesa supaya menunaikan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan selaras dengan Perjanjanjian Petroleum 1975 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Malah Exco Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan Pusat pada ketika ini diingatkan agar mengingati semula ucapan Tun Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri yang dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan negeri berhak menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau luar perairan (offshore).

"Pada 12 November 1975 Tun Razak sudah menyebut bahawa negeri-negeri yang terlibat dengan cari gali. petroleum akan menerima lima peratus royalti," katanya di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Selain itu Husam berkata, kerajaan pusat tidak seharusnya menafikan pembayaran wang royalti itu kerana ia jelas dinyatakan oleh Abdul Razak dalam sidang Parlimen.

Sebelum itu Husam serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan menyerahkan memorandum terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai bagi memperingati 36 tahun ucapan Tun Razak di Parlimen.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Kami berharap selepas Perdana Menteri menerima memorandum ini, beliau berhasrat untuk menjelaskan royalti yang menjadi hak milik rakyat Kelantan.

"Memorandun itu juga turut mengandungi beberapa kenyataan daripada bekas menteri dan senator yang menyokong pemberian lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui di mana-mana negeri di negara ini," katanya.

Kerajaan Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari persisiran pantai negeri itu.

Kerajaan Pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain