suria

Jais Tubuh Jawatankuasa Pantau Rumah Kebajikan Paksa Penghuni Zikir Puja Abuya

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi sejak tahun lepas bagi mengenalpasti rumah kebajikan yang memaksa anak yatim berzikir memuja pengasas Al-Alqam, Abuya.

Pengarah Jais Marzuki Hussin dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu dilaksanakan bagi mengenalpasti halangan serta tindakan yang sesuai daripada aspek perundangan bagi mengendalikan kegiatan ini.

Beliau berkata kes memaksa anak yatim berzikir menyeru nama Ashaari Muhammad yang lebih dikenali sebagai Abuya sebenarnya berada dalam pengetahuan Jais sejak kematian pemimpin itu lagi.

"Kumpulan itu turut didapati menyediakan pendidikan tertentu kepada anak-anak yatim iaitu berzikir dengan menyebut nama Abuya, mendengar sejarah tentangnya dan melihat gambarnya sebelum memulakan sesi pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebuah rumah kebajikan di Selangor yang memperalatkan anak yatim di beberapa pusat jagaan untuk direkrut untuk menjadi pengikut ajaran itu.

Marzuki berkata Jais dimaklumkan sehingga kini terdapat lebih 5,000 anak-anak kumpulan itu yang dididik tanpa mengikut sistem pendidikan arus perdana dan pada masa sama mereka digunakan bagi mengutip derma untuk disumbang kepada balu Ashaari, Khatijah Am yang berada di luar negara.

"Daripada sumber yang boleh dipercayai, Khatijah Am memperoleh lebih dari RM800,000 sebulan dengan sebahagian daripadanya diperoleh melalui aktiviti rumah-rumah kebajikan itu," katanya.

Isnin lepas, sebuah akhbar melaporkan sebuah pertubuhan yang diharamkan kerajaan berselindung di sebalik rumah kebajikan dengan merekrut anak yatim yang ditempatkan di rumah itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain