suria

Isu NFC: PKR Desak Shahrizat Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletak jawatan ekoran dakwaan penyelewengan berhubung isu berkaitan syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dikaitkan dengan anggota keluarganya.

Selain itu Shahrizat turut digesa melepaskan jawatannya dalam politik serta merta bagi mengelakkan maruah keluarganya dan Umno tercalar ekoran skandal berkenaan.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika membuat desakan tersebut turut mendakwa bahawa parti itu masih mempunyai beberapa bukti penyelewengan lebih besar yang belum didedahkan.

"Hanya tindakan berundur diri boleh menyelamatkan maruah keluarganya dan ahli-ahli Wanita Umno yang turut terpalit dengan skandal NFC ini," katanya di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Sebelum ini Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mendakwa wujudnya penyalahgunaan pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Agroscience Sdn Bhd.

Bagaimanapun Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pinjaman itu telah diluluskan kepada NFC untuk melaksanakan projek Pusat Fidlot Nasional.

Bagaimanapun Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) menyifatkan dakwaan berkenan sebagai agenda politik pembangkang.

Jelas Shahrizat, dakwaan pembangkang bahawa kerajaan telah berbohong mengenai jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada projek NFC melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tidak benar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain