suria

Ibu Lega Tiga Anak Kecil Terselamat Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Seorang ibu lega apabila tiga anak kecil yang ditinggalkan sebentar di rumah untuk ke kedai berhampiran terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumah papan mereka di Kampung Chempedak, Sentul Pasar, pada Khamis.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, Norazniza Baen, 32, berkata beliau meninggalkan ketiga-tiga anaknya - Norshakila, 6, Norshazwani, 5, dan Amirudin, 2, - untuk ke kedai berhampiran bagi membeli barangan dapur manakala suaminya, Norfizan Ismail, 35, keluar bekerja. "Saya ke kedai sekejap sahaja, tidak sampai beberapa minit. Tidak lama selepas itu saya terdengar jeritan 'terbakar' yang dilaungkan orang ramai. Saya terus berlari ke rumah kerana bimbang sesuatu terjadi pada tiga anak saya," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Norazniza berkata beliau bersyukur kerana setibanya di rumah beliau melihat ketiga-tiga anaknya menangis di luar rumah setelah diselamatkan orang ramai. "Alhamdulillah. Hanya Allah yang tahu betapa hati saya berasa lega apabila melihat mereka," kata suri rumah itu. Kebakaran itu turut memusnahkan empat rumah berdekatan dan dua kereta jenis Proton Iswara dan Saga yang diletakkan di hadapan rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Zahari Mohd berkata pihak forensik bomba masih menyiasat punca kebakaran yang dipercayai bermula di bahagian tengah rumah itu sebelum merebak ke kiri dan kanan rumah itu.

"Empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Wangsa Maju, Gombak dan Pusat dengan 35 anggota bergegas ke tempat kejadian. Kami tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. "Ketika sampai, rumah itu sudah 70 peratus terbakar. Kami mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain