suria

Bank Negara, DBP Disaran Lakukan Audit Bahasa Di Institusi Kewangan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran melakukan pengauditan bahasa menerusi penarafan bintang bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan di semua institusi kewangan di negara ini digunakan secara menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penarafan bintang seumpama itu akan menjadi kayu pengukur kepada pencapaian institusi kewangan daripada segi mutu penggunaan bahasa kebangsaan sama ada dalam urusan rasmi dalam negara atau di peringkat antarabangsa.

"Kita memahami bahawa penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris adalah penting untuk meningkatkan perniagaan dan perdagangan pada peringkat antarabangsa. Tetapi ini tidak bermakna kita harus meminggirkan bahasa Melayu.

"Adalah lebih baik sekiranya urusan perniagaan dengan rakyat tempatan dilakukan dalam bahasa Melayu. Dengan itu institusi kewangan dapat memperluas bidang perniagaan yang pastinya menambah keuntungan," katanya ketika merasmikan Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan dan Insurans di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Muhyiddin turut mencadangkan institusi kewangan memperuntukkan sebahagian keuntungan yang diperoleh untuk menjayakan aktiviti kebahasaan sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka.

"Saya percaya banyak kerjasama strategik antara institusi kewangan dan badan kebahasaan untuk melaksanakan aktiviti ini. Syarikat berkaitan kerajaan sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang kewangan.

"Dengan itu, inisiatif yang sekarang ini digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Bank Negara Malaysia dapat diteruskan oleh penggiat industri sendiri," katanya.

Beliau turut menggalakkan institusi kewangan menghantar kakitangan mereka mengikuti Kursus Bahasa Melayu Berakreditasi Sektor Perkhidmatan Kewangan yang dianjurkan oleh Institut Bank-Bank Malaysia, BNM dan DBP bagi melahirkan modal insan yang mahir berbahasa Melayu.

Dalam pada itu, dengan melihat penggunaan bahasa kebangsaan tidak mendatangkan masalah besar kepada sektor kewangan, Muhyiddin berkata sesuatu yang aneh jika bahasa Melayu yang menjadi "lingua franca" pada berabad-abad yang lalu semakin hari semakin dipinggirkan dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini.

"Ada tanggapan seolah-oleh bahasa Melayu tidak boleh menjadikan seseorang itu berjaya dalam perniagaan. Kita perlu mengambil iktibar daripada kejayaan masyarakat di Jepun, Korea dan Taiwan yang maju dengan menggunakan bahasa mereka sendiri, bukan dengan penguasaan bahasa asing atau bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Awang Adek memberitahu sidang media bahawa jawatankuasa kecil pelaksanaan bahasa kebangsaan kementeriannya akan memantau bagi memastikan usaha itu dilaksanakan institusi kewangan di negara ini.

"Kita tidak meletakkan sasaran bila mereka akan laksanakan, tetapi saya yakin BNM dan DBP mampu menggalas tugas ini dalam memastikan penggunaan bahasa kebangsaan diperluaskan sekaligus memartabatkannya ke peringkat yang lebih tinggi khususnya dalam sektor kewangan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain