suria

Unit Bantuan Kebakaran Syarikat Swasta Selamatkan Ratusan rumah Setinggan

TAWAU: Tindakan pantas Unit Bantuan Kebakaran sebuah syarikat swasta, Majulah Koko di sini, berjaya menyelamatkan ratusan buah rumah setinggan di Kampung Pukat, Tanjung Batu dekat sini, daripada terbakar pagi Rabu.

Seorang jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau berkata bantuan unit berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kajadian berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dari sebuah rumah yang terbakar di kampung itu.

Jurucakap jabatan bomba berkenaan berkata mereka menerima panggilan kira-kira pukul 10 pagi sebelum dua jentera dengan 20 anggota yang diketuai Zougarana Konin bergegas ke tempat kejadian.

Katanya ketika tiba di tempat kejadian, salah sebuah rumah telah dijilat api sepenuhnya.

Mangsa Bungan Deseh,60, berkata ketika kejadian beliau sedang mandi apabila dengan tiba-tiba salah seorang cucunya berteriak “api-api” dan terus keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala.

Katanya ketika kejadian, dua orang anaknya dan tiga orang cucunya sahaja berada di rumah manakala suaminya pergi ke bandar. - BERNAMA

Artikel Lain