suria

Suami Terbunuh, Isteri & Anak Cedera Dalam Kemalangan

TAPAH: Suami terbunuh, isteri dan anak cedera parah, manakala empat lagi anak mereka cedera ringan apabila kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan lain di Km 315.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa yang cedera parah dan terbunuh dalam kejadian itu adalah penumpang kereta Kharsana Amat 38.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata isteri mangsa Mukrimah Hamzah 37, anak lelakinya Mohd Izuddin Shah, 11 cedera parah manakala yang cedera ringan Azwin Nurain 12, Azrin Najihan, 9, Azrin Najwa,7 dan Mohd Mukhriz Shah 3 tahun.

Kesemua yang cedera parah dan cedera ringan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, katanya.

Katanya mereka semua berasal dari Pulau Pinang. Roslan berkata ketika kejadian, kereta jenis Perodua-Alza yang dipandu Mukrimah, dalam perjalanan dari selatan ke utara dikatakan terlanggar belakang sebuah lori di hadapannya lalu terbabas dan melintang di tengah lebuh raya.

Pada masa yang sama sebuah kereta Proton Waja yang mengekori kereta mangsa gagal mengawal lalu merempuhnya.

Pemandu kereta Proton Waja dan lori tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut pada pukul 10.20 malam tadi. -BERNAMA

Artikel Lain