suria

Punca Kematian Pelajar Malaysia Di Indonesia Bukan Bermotifkan Dendam

JAKARTA: Punca kematian pelajar Malaysia, Andrian Jay Pereira bukan bermotifkan dendam kata pihak berkuasa Indonesia.

Menurut Atase Pendidikan Malaysia di Kedutaan Malaysia, Ludinata Misnun kejadian itu bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya apabila Pereira bersama dua rakan serumahnya terdengar bunyi bising di luar rumah mereka.

Pereira yang keluar menyiasat tidak menemui sebarang yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.

Dia kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Pereira pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa kejadian itu, Pereira dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya.

Sementara itu hasil bedah siasat Hospital Saiful Anwar, Malang, mendapati kematian Pereira disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.

Pereira, 23 penuntut Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumah sewanya di bandar Malang, Jawa Timur, malam Isnin.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 7 malam itu, Pereira penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) itu, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam oleh pencuri berkenaan di tempat kejadian.

Artikel Lain