suria

Polis Tumpas Sindiket Curi Motor 'Geng Acat C70'

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal 'Geng Acat C70' dengan tertangkapnya 11 lelaki yang giat menjalankan aktiviti tersebut sejak penghujung tahun 2008.

Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Chuah Ghee Lye berkata kesemua suspek berusia antara 16 dan 22 tahun di mana lapan daripadanya tidak mempunyai pekerjaan sementara tiga lagi merupakan pelajar sekolah menengah di Alor Gajah.

"Kumpulan tersebut digelar sebagai 'Geng Acat C70' sempena nama panggilan ketua mereka iaitu 'Acat' dan mereka yang ditangkap terdiri daripada yang mencuri, menjual dan membeli motosikal.

"Geng tersebut menyasarkan motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 yang diletakkan di hadapan rumah terutama di kawasan taman-taman perumahan di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Bukit Beruang di sini hari ini.

Chuah berkata pihak polis berjaya menyelesaikan 12 kes curi motosikal iaitu enam kes di daerah Melaka Tengah dan enam lagi di daerah Alor Gajah.

Beliau berkata hasil soal siasat yang dijalankan, pihak polis telah menjumpai sebuah motosikal, empat rangka motosikal, dua enjin motosikal, sebuah komponen motosikal dan satu pembuka palam pencucuh yang telah diubah suai.

Katanya lima daripada suspek telah dihadapkan di mahkamah, dua masih ditahan reman sementara empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda.

Sementara itu Chuah berkata kes curi motosikal di Melaka mencatatkan penurunan sebanyak 16 peratus iaitu 1,362 kes dari Januari hingga 8 November tahun ini berbanding 1,620 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Lain