suria

Polis Terima 154 Laporan Bantah Program Seksualiti Merdeka

KUALA LUMPUR: Polis telah menerima 154 laporan di seluruh negara membantah penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang dianggap mengganggu ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata laporan yang diterima sehingga semalam itu membuktikan orang ramai mahu polis bertindak tegas terhadap penganjur demi keselamatan mereka.

"Orang yang buat laporan pun sudah 100 lebih, mereka pun kita akan rakam percakapan. Setakat ini lebih 50 orang telah dirakam percakapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran polis Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Program Seksualiti Merdeka 2011 itu bertujuan menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti gay, lesbian, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Khalid berkata setakat ini tiada individu yang ditahan. Beliau berharap tidak wujud kumpulan serpihan yang cuba mengadakan apa-apa tindakan yang menyokong program Seksualiti Merdeka yang telah diharamkan oleh polis.

"Apa jua yang kita hendak buat, kita kena ambil kira sensitiviti budaya, agama dan berbilang kaum di negara kita.

"Jangan ikut sedap hati kita sahaja. Jangan sebab hendak ambil (pejuang hak) minoriti kita terpaksa menyebabkan majoriti marah," katanya.

Dalam perkembangan lain Khalid juga berkata polis akan mengenal pasti anggota atau pegawai polis yang didakwa dirasuah oleh seorang tahanan bagi membolehkannya melarikan diri dari Balai Polis Tanjung Sepat tujuh tahun lepas selepas ditahan berhubung kematian seorang remaja wanita.

"Kita akan buka kertas siasatan. Kalau dia (suspek) sudah bagi tahu macam itu, kita akan mulakan siasatan. Kita perlu mengenal pasti anggota yang terlibat dalam membebaskannya," katanya.

Kher Tian Hock, 37, seorang penganggur, yang menghadapi tuduhan membunuh See Sheau Fang, 18, di kawasan sebuah rumah di Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang dekat sini pada 28 Februari 2004, dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok pada Selasa kerana melarikan diri daripada tahanan polis. Dia memberitahu mahkamah bahawa ada anggota polis yang dirasuah bagi membolehkannya melarikan diri.

Khalid menganggap dakwaan itu sebagai amat serius. - BERNAMA

Artikel Lain