suria

Polis Percaya Pakar Curi Terlibat Larikan Mesin ATM

KUALA LUMPUR: Polis percaya anggota sindiket melarikan mesin juruwang automatik (ATM) dengan cara mengheretnya menggunakan kenderaan berat di Cheras semalam terdiri dari mereka yang pakar mencuri dan meleraikan komponen ATM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata jenayah terancang itu memerlukan mereka yang berpengetahuan luas dalam mengheret mesin menggunakan lori atau kenderaan jenis pacuan empat roda sebelum membuka ATM itu.

"Siasatan awal kami mendapati mereka bertindak tidak sampai lima minit...hanya yang pakar sahaja yang mampu (berbuat demikian)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran polis Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Semalam dilaporkan sebuah bank di Taman Midah, Cheras kerugian RM316,000 apabila satu daripada lapan mesin juruwang automatik (ATM) dilarikan sekumpulan individu.

Mesin itu ditemui semula di Hulu Klang, Ampang dekat sini oleh orang awam, namun semua wang tunai telah dilarikan. Ku berkata polis percaya suspek warga tempatan itu masih berada di sekitar Lembah Klang dan usaha kini giat dilakukan bagi mengesan mereka.

"Rakaman CCTV menunjukkan suspek menutup muka mereka menggunakan topi besbol dan mask ketika melakukan jenayah...memang ada cap jari di mesin yang ditemui dan kami sedang mengesan mereka yang terlibat," katanya.

Dalam kes berasingan, Ku berkata lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan remaja di satu kawasan di Setapak baru-baru ini.

Beliau berkata beberapa laporan polis telah diterima dan siasatan akan dijalankan bagi mencari punca pergaduhan yang menyebabkan kecederaan beberapa lelaki yang kini dirawat di sebuah hospital.

Jelasnya pergaduhan itu dipercayai melibatkan penggunaan senjata seperti parang selain topi keledar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kes berkenaan dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. -BERNAMA

Artikel Lain