suria

Pengambilan Staf Antarabangsa UM Ikut Kriteria

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) sentiasa memastikan pengambilan staf akademik antarabangsa memenuhi kualiti dan kriteria ketat yang ditetapkan dalam sasaran prestasi akademik standard universiti itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung berkata, antara kriteria yang ditetapkan adalah jumlah penerbitan jurnal berimpak tinggi, penyeliaan dan penyelidikan yang dijalankan oleh staf akademik terbabit.

"Semua pelantikan ini dilalukan secara kontrak dan tidak menjejaskan kedudukan perjawatan staf akademik tempatan,” katanya menjawab soalan Khalid Samad (Pas-Shah Alam) pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Kok Chung berkata, berdasarkan statistik terkini, UM mempunyai 15.9 peratus tenaga akademik antarabangsa, selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang menetapkan sebuah universiti penyelidikan perlu memiliki sekurang-kurangnya 15 peratus staf akademik bukan warganegara Malaysia.

Menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai langkah untuk memartabatkan universiti tempatan agar setanding dengan institusi pengajian tinggi lain di seluruh dunia, beliau berkata, setiap universiti perlu mengikuti pelan dan cadangan yang ada di dalam PSPTN. –BERNAMA

Artikel Lain