suria

M'sia Diberi Penghormatan Luar Biasa Oleh Kerajaan Arab Saudi - Najib

SEPANG: Raja Arab Saudi Raja Abdullah Aziz Al-Saud memandang tinggi terhadap Malaysia dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah baginda, yang merupakan pengawas Masjidil Haram turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Najib dalam mentadbir negara.

Baginda bertitah demikian kepada Najib melalui perbualan telefon antara baginda yang berada di Riyadh dan Najib yang berada di Istana Tetamu Mina pada pukul 7.45 malam pada Isnin yang memakan masa selama 25 minit.

Untuk itu, Najib dalam ucapannya sebaik tiba dari tanah suci di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini hari ini berkata: "Ini menujukkan bahawa kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Abdullah yang merupakan Custodian of the Holy Mosque dan seluruh kepimpinan Islam kerajaan Arab Saudi memandang tinggi kepada Malaysia dan kerajaan kita." Najib berkata sokongan itu menunjukkan bahawa kepimpinan Malaysia berada pada landasan yang betul dan benar, dan ini menguatkan lagi semangat pemimpin negara untuk terus berjuang.

Najib dan rombongan yang termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah, tiba dengan pesawat khas pada 3.25 petang, dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia turut diberi penghormatan luar biasa oleh kerajaan Arab Saudi ketika beliau berada di sana bagi menunaikan ibadah haji. "Malam tadi, saya merupakan ketua kerajaan yang pertama dapat berjumpa dengan Putera Mahkota yang baru, Putera Naif (Abdul Aziz) dalam satu pertemuan yang berlangsung selama sejam setengah," katanya mengenai Putera Naif yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negferi Arab Saudi.

Beliau juga berkata tidak pernah dalam sejarah, Malaysia diberi penghargaan apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom diberi penghormatan untuk memberikan ucapan dalam bahasa Arab di Istana Mina dan mendapat pujian yang tinggi oleh semua yang hadir.

Najib melahirkan penghargaan kepada Muhyiddin kerana telah menjalankan pentadbiran dengan begitu baik sepanjang beliau tiada di dalam negara.

Perdana Menteri juga berterima kasih kepada mereka yang menyambut ketibaan beliau dan isteri serta, dan berkata: "Alhamdullillah, kami telah selesai melakukan ibadah haji dan mudah-mudahan Allah akan menerima ibadah dan menerimanya sebagai haji mabrur.

"Maka dengan ini, kita akan meneruskan perjuangan kita dengan semangat dan kekuatan serta keimanan untuk memastikan matlamat dan cita-cita kita akan tercapai," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain