suria

MCA Bangkitkan Masalah Dana Bagi SMJK Kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau telah membangkitkan isu berhubung keperluan dana khas bagi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan ketika beliau mengetuai delegasi terdiri daripada menteri dan timbalan menteri daripada MCA semasa pertemuan mereka dengan Muhyiddin pada 31 Oktober untuk membincangkan beberapa isu berkaitan SMJK, yang asalnya Sekolah Persendirian Cina sebelum ditukar menjadi sekolah bantuan kerajaan.

"Antara masalah yang dibincangkan termasuk dana bagi pembangunan yang MCA berpendapat tidak mencukupi. Kami merasakan banyak isu yang khusus kepada SMJK memerlukan perhatian Menteri Pelajaran agar tumpuan khas boleh diberi kepada sekolah ini," kata beliau pada persidangan akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata MCA akan turut mengadakan pertemuan dengan lembaga pengelola dan guru besar SMJK yang membabitkan 78 sekolah dan 125,000 pelajar.

"Selain daripada itu, kami berbincang bahawa semua SMJK mesti mempunyai sekurang-kurangnya lima waktu bagi mata pelajaran Mandarin setiap minggu," katanya.

Dr Chua berkata dalam pertemuan itu, MCA membangkitkan isu kemungkinan beberapa SMJK berdepan masalah kekurangan guru besar memandangkan ada di antara mereka tidak dapat dinaikkan ke jawatan itu kerana gred mereka hanya DG48 sedangkan gred bagi guru besar ialah DG52.

"Menteri Pelajaran bersetuju bahawa masalah ini akan diselesaikan mulai 2012 dengan semua guru besar SMJK akan dinaikkan ke gred DG52. Jadi, masalah kekosongan yang tidak diisi disebabkan gred tidak akan timbul lagi," katanya.

Dalam pertemuan itu, mereka turut membincangkan isu dua buah sekolah yang beroperasi sebagai sekolah cawangan iaitu SMJK Chan Wa di Seremban dan SMJK Jit Sin 2 di Pulau Pinang dan bukannya dibenarkan beroperasi di bawah pentadbiran sendiri.

"Bagi SMJK Jit Sin 2, kementerian mahu MCA membantu mengenal pasti lokasi. Kami berpendapat lokasinya perlu strategik dan tidak menyusahkan guru atau pelajar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain