suria

Lima Lelaki Dituduh Rompak Kakak Sulung Timbalan Menteri Dalam Negeri

MELAKA: Empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Rabu terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas kakak sulung Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop pada September lepas.

Azlan Azmi, 29, Mohd Afandi Hassan, 24, Mohd Nizam Mohd Shahadan, 24, Mohd Azrul Aminrashid Jasmin, 26, dan warga Indonesia Muhamad Yusuf Rahmat, 22, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kelima-lima mereka dituduh melakukan rompakan berkumpulan ke atas kakak Abu Seman, Samidah, 74, membabitkan wang tunai RM4,000 dan sebuah telefon bimbit jenama Nokia di rumah tidak bernombor di Batu 19 1/4, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Alor Gajah pada 11.30 malam, 21 September lepas.

Mereka juga menghadapi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas anak Samidah, Rosiah Mansor, 56, iaitu dua utas rantai leher emas dan dua bentuk cincin di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Katar membenarkan keempat-empat tertuduh warga tempatan itu masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun Muhamad Yusuf tidak dibenarkan ikat jamin kerana dia merupakan rakyat Indonesia.

Abu Bakar menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abdul Latiff manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Azlan, yang turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret bagi pertuduhan menghapuskan harta curi iaitu seutas rantai leher emas milik Rosiah di Kedai Rizki Gold & Jewellery pada 2 petang, 24 September lalu, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Dorismah Mohd Idris yang mendengar kes itu menetapkan 19 Disember ini bagi jatuh hukum ke atas Azlan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Insp Meran Anak Emai. - BERNAMA

Artikel Lain