suria

Lelaki Ugut Isteri Dengan Pisau Dipenjara 10 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bekerja sendiri dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu selepas dia mengaku salah mengugut isterinya, Sabtu lepas.

Majistret Mohd Azali Ibrahim memerintahkan Mohammad Al'Shawal Abd Rahim, 37, menjalani hukuman dari tarikh tangkap 5 November. Mohammad Al'Shawal mengaku mengugut isterinya, Azizah Wahid, 37, pada 2 petang, 5 Nov di sebuah rumah di Jalan Hamzah, Kampung Baru, di sini dengan menggunakan sebilah pisau.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 (Menakutkan Secara Jenayah), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semasa merayu hukuman ringan, Mohammad Al'Shawal yang tidak diwakili peguam bela berkata ketika kejadian dia dalam keadaan tertekan serta tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung dua orang anak.

Sementara itu di mahkamah yang sama, Mohammad Al'Shawal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Azizah di tempat dan pada masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Azali menetapkan 12 Disember untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias. - BERNAMA

Artikel Lain