suria

Kerajaan PAS Kedah Tidak Sokong Cadangan Kurangkan Penjawat Awam

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah yang dipimpin PAS tidak bersetuju dengan cadangan pemimpin DAP yang juga rakan sekutunya, untuk mengurangkan penjawat awam jika pakatan pembangkang mentadbir negara.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata sebaliknya kerajaan negeri itu berpandangan bilangan mereka perlu ditambah. "Apabila bilangan rakyat bertambah, rasionalnya bilangan penjawat awam juga perlu ditambah supaya perkhidmatan yang diberi berkesan bukan mengurangkannya.

"Soal memaksimumkan tenaga penjawat awam adalah perkara lain tetapi keperluan dan keutamaan kita adalah memenuhi tuntutan rakyat," katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Beliau diminta mengulas cadangan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, yang dilapor berkata mereka akan mengecilkan jumlah penjawat awam serta mempercepatkan pesaraan penjawat yang tidak efisien dengan alasan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Mengulas lanjut, Azizan berkata bilangan penduduk Kedah yang meningkat dari 1.8 juta kepada 2.1 juta dalam tempoh tidak sampai lima tahun juga memerlukan bilangan penjawat awam ditambah.

Sementara itu, mengulas penggantungan ketua jurulatih pasukan bola sepak Kedah Wan Jamak Wan Hassan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Azizan berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk merayu.

"...orang yang hilang perlu diganti," kata Azizan yang juga Presiden KFA, tanpa menjelaskan perancangan badan bola sepak negeri mengenai kedudukan Wan Jamak.

Wan Jamak digantung 18 perlawanan selepas mengkritik FAM dan pengadil mengenai mutu pengadilan.

Penggantungan itu bermakna Kedah kehilangan khidmat Wan Jamak untuk tempoh yang lama apabila musim bermula awal tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain