suria

Kerajaan Nafi Wang Luar Jangka RM1.4 Bilion 'Telah Lesap' - Awang Adek

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pada Rabu menafikan dakwaan pembangkang bahawa peruntukan Kumpulan Wang Luar Jangka (KWLJ) menerusi bajet tambahan 2010 berjumlah RM1.4 bilion telah lesap.

Menurut beliau, pembangkang sengaja memesongkan fakta mengenai perbelanjaan kerajaan menerusi KWLJ yang bertujuan mengelirukan rakyat terutama berkaitan kaedah pengurusan kewangan negara.

"Pembangkang timbulkan kekeliruan dengan mempersoalkan ke mana perginya wang berjumlah RM1.4 bilion dengan merujuk laporan Ketua Audit negara 2010 iaitu KWLJ pada Disember 2010 menunjukkan baki sebanyak RM79,147,700.

"Sebaliknya pada 1 Januari 2011 ditunjukkan jumlah KWLJ kembali meningkat menjadi RM1.5 bilion. Jadi wang berjumlah RM1.4 bilion yang dikatakan lesap itu sebenarnya telah dibelanjakan pada tahun 2010.

"Peruntukan berkenaan digunakan sepanjang tahun berkenaan dan ia telahpun dibentangkan sebagai belanjawan tambahan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen 7 Mac hingga 7 April 2010," katanya di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Tambah beliau, wang berjumlah RM1,420,852,300 telah direkup dan ditambah balik dalam KWLJ.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang pada Selasa bahawa wang berjumlah RM1.4 bilion telah lesap daripada RM1.5 bilion yang diperuntukkan.

Mengulas lanjut, Awang Adek berkata kaedah pengurusan kewangan KWLJ berkenaan merupakan amalan biasa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya Perkara 103 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Menteri Kewangan menggunakan peruntukan KWLJ untuk tujuan luar jangka.

Artikel Lain