suria

Kastam Tumpaskan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM2.3 Juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan empat cubaan menyeludup dadah seberat 14.25 kilogram bernilai RM2.3 juta dalam tempoh 24 jam pada 5 dan 6 November lalu.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M.Govinden berkata salah satu kes pada 5 November melibatkan dua warga Eropah yang membawa masuk dua bagasi berasingan melalui penerbangan yang sama dari Dubai ke Kuala Lumpur di mana pada awalnya mesin pengimbas gagal menunjukkan imej yang meragukan pada bagasi yang mempunyai ruangan sulit yang direka khas untuk menyembunyikan dadah.

Namun, katanya hasil kecekapan dan tindakan pantas anggota jabatan, suspek pertama berusia 53 tahun ditahan bersama bagasi kira-kira pukul 10.20 malam oleh pasukan risikan kastam dengan penemuan syabu seberat 4.25 kilogram (kg)dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

"Suspek kedua berusia 42 tahun yang juga rakan kepada suspek pertama ditahan 10 minit selepas itu dengan penemuan dadah jenis yang sama dan nilai yang sama. Ini kali pertama kita menahan warga Eropah di KLIA yang membawa dadah," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata kedua-dua suspek diserahkan kepada bahagian penguatkuasaan untuk direman dan siasatan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Dalam kes berasingan seorang rakyat Malaysia berusia 19 tahun yang tiba dari Hong Kong turut ditahan pada 5 Nov kira-kira pukul 1.15 petang oleh pegawai kastam cawangan pemeriksaan penumpang KLIA. "Hasil imbasan pada bagasinya menunjukkan imej meragukan dan kita menemui 15 bungkusan putih ditutupi karbon berisi dadah jenis Ketamine seberat 5.4 kg bernilai RM102,600," kata Govinden.

Menurutnya kes ketiga melibatkan seorang rakyat Nigeria berusia 33 tahun yang ditahan pada 6 November pada pukul 12.05 pagi yang tiba melalui penerbangan dari Bangkok. "Setelah bagasi diimbas terdapat imej meragukan dan kita menemui syabu seberat 0.35 kg bernilai RM87,500 yang disembunyi pada ruangan rahsia dalam bagasinya," kata beliau.

Govinden juga melahirkan kebimbangan dengan peningkatan jumlah dadah yang cuba dibawa masuk ke negara ini dan tidak menolak kemungkinan kelemahan aspek kawalan keselamatan di pintu masuk negara menyebabkan dadah begitu mudah dibawa masuk.

Katanya dalam tempoh seminggu bermula 1 November hingga 6 November lepas, enam orang ditangkap dalam cubaan menyeludup dadah masuk ke negara ini melibatkan dadah seberat 3.46 kg dengan nilai RM6.9 juta. -BERNAMA

Artikel Lain