suria

Jawatankuasa Kerja Bagi Pemulihan Pesalah Muda Ditubuhkan Januari

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa kerja untuk mengkaji pelaksanaan sistem keadilan berasaskan pemulihan bagi pesalah muda, termasuk kanak-kanak di negara ini dijangka ditubuhkan pada Januari. Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Arfan Sulaiman berkata satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi bagi memperincikan garis panduan sistem keadilan itu.

“Garis panduan itu kemudian akan dikemukakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk diputuskan,” katanya kepada Bernama selepas melawat Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini Rabu.

Shahrizat ketika melancarkan sambutan Hari Kanak-Kanak sedunia peringkat kebangsaan bulan lepas, mengumumkan cadangan penubuhan jawatankuasa kerja itu yang antara lain memberi peluang kedua kepada pesalah muda yang melakukan jenayah ringan dengan hukuman setimpal termasuk perkhidmatan komuniti selain memastikan mereka tidak ditempatkan dengan penjenayah dewasa.

Beliau berkata jawatankuasa itu antara lain akan dianggotai pakar undang-undang, pakar kanak-kanak, ahli akademik, pakar psikologi kanak-kanak, wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu seramai 150 orang kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di wad kanak-kanak institut itu diraikan dengan pelbagai acara yang menghiburkan mereka sempena sambutan hari kanak-kanak sedunia.

Antara acara tersebut termasuk pertunjukan silap mata serta persembahan beberapa orang artis Akademi Fantasia (AF). - BERNAMA

Artikel Lain