suria

Gaji Minimum Bagi Kakitangan Anak Syarikat Kerajaan Selangor Bukan Automatik - MB

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan pelaksanaan gaji minimum bagi kakitangan anak syarikat kerajaan negeri Selangor, iaitu RM1,500 sebulan, bukanlah secara automatik sebaliknya berdasarkan produktiviti.

Beliau berkata langkah itu satu usaha menggerakkan syarikat milik kerajaan negeri agar memberikan latihan kepada kakitangannya bagi menaik taraf kemahiran seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan sendiri.

"Sekiranya ada anak-anak syarikat tidak mampu memberi latihan kepada pekerja mereka, mereka boleh datang kepada kerajaan negeri, kita ada peruntukan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2012 pada Rabu.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun depan oleh anak syarikat milik kerajaan negeri di bawah 'Geran Selangorku' berjumlah RM300 juta. Beliau mengumumkan geran itu, yang diperoleh daripada sumbangan dividen syarikat berkaitan kerajaan negeri dan diuruskan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), antaranya termasuk pelaksanaan gaji minimum, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor yang bermula pada Rabu.

Abdul Khalid juga berkata di bawah Geran Selangorku, dana sebanyak RM10 juta diperuntukkan kepada anak syarikat kerajaan negeri yang mempunyai prestasi kewangan belum stabil bagi melaksanakan gaji minimum itu. Selain itu, beliau berkata bagi Program Pengukuhan Demokrasi yang melibatkan peruntukan RM5 juta, ia akan diagihkan kepada semua pihak, termasuk sukarelawan, untuk menjalankan kajian mengenai demokrasi di Malaysia seperti bilangan pengundi dan proses pilihan raya yang diamalkan negara ini.

Mengenai peruntukan RM15 juta bagi membasmi rasuah dan penyelewengan, katanya, ia turut membabitkan pemberian ganjaran kepada mereka yang membongkar kegiatan rasuah serta memberi khidmat guaman jika diperlukan.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menafikan pembentangan Bajet Selangor 2012 adalah bajet pilihan raya berikutan beberapa bantuan jangka pendek bagi program tertentu, termasuk cadangan pelaksanaan Program Pengukuhan Demokrasi.

"Tak ada kena-mengena dengan pilihan raya umum, apa yang dilakukan ialah sumbangan kerajaan negeri untuk semua. Kalau bajet pilihan raya ialah untuk buat persiapan seperti banner," katanya.

Beliau juga berkata semua parti politik sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dan kini terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membubarkan Parlimen. - BERNAMA

Artikel Lain