suria

'Dialah Segala-Galanya Bagi Saya '- Ibu Penuntut Malaysia Yang Maut Dibunuh Di Jawa Timur

KLANG: “Adalah sesuatu yang menyayat hati untuk melihat jasad anak lelaki saya dalam peti keranda nanti. Saya tidak pernah menjangkakan ini semua akan berlaku kepada kami,” kata ibu kepada pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira yang mati ditetak di luar rumah sewanya di Kota Malang, Jawa Timur, Indonesia pada Isnin malam.

Mary Catherine De Cruz, 52, menyifatkan Adrian, sebagai seorang anak yang patuh dan pelajar terbaik di sekolah.

“Dialah segala-galanya bagi saya. Adrian mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah klinik yang menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Klang Jaya di sini pada Selasa.

Mary berkata harapan terakhirnya adalah untuk melihat jenazah anaknya buat kali terakhir.

“Saya hanya berharap agar jasad anak lelaki saya itu dapat dihantar ke sini dengan selamatnya tanpa sebarang kesulitan.

"Kedutaan Malaysia memaklumkan kepada kita mengenai insiden itu dan sehingga kini, kita tidak pasti apa sebenarnya berlaku," katanya.

Adrian merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Dia mempunyai dua adik perempuan yang berusia 19 dan 16 tahun.

Adrian, 23 penuntut Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumah sewanya di bandar Malang, Jawa Timur, pada Isnin malam.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 7 malam itu, Adrian penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) itu, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam oleh pencuri berkenaan di tempat kejadian.

Seramai 173 penuntut Malaysia kini mengikuti pengajian di Malang dan daripada jumlah itu, 161 daripada mereka menuntut di Universiti Brawijaya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak kementerian berasa sedih dengan kematian Adrian serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami telah memaklumkan kepada kerajaan Indonesia bahawa kami memerlukan kerjasama daripada pihak mereka untuk memastikan keselamatan pelajar kita yang menuntut di sana

“Kami akan menanggung semua kos untuk membawa pulang jenazah mendiang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Atase Pendidikan Malaysia di Kedutaan Malaysia, Ludinata Misnun kejadian itu bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya apabila beliau bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar rumah mereka.

Pereira yang keluar menyiasat tidak menemui sebarang yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.

Beliau kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Pereira pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa kejadian itu, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya.

Hasil bedah siasat Hospital Saiful Anwar, Malang, mendapati kematian Pereira disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.

Artikel Lain