suria

Cedera Ditembak: Pemandu Teksi Saman Anggota Polis

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi yang cedera di kedua-dua kakinya akibat ditembak anggota polis berhampiran Pejabat Pos, Jalan Pudu tahun lalu, menyaman anggota itu kerana cuai menjalankan tugas, serta menuntut ganti rugi.

Yeow Leong Kang memfailkan saman pemula di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Stella, Lim & Co. Beliau menamakan detektif Lans/Kpl Norhesham Mohd Nor daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Dalam penyataan tuntutannya, Yeow mendakwa semasa kejadian, beliau berada di dalam teksinya berhampiran pejabat pos berkenaan kira-kira 4.30 petang pada 23 Sept 2010, dan Norhesham telah melepaskan tembakan ke arah kakinya tanpa memberikan sebarang amaran, dan anggota berkenaan tidak memberikan sebarang alasan terhadap tindakannya itu.

Yeow, 42, berkata dia telah menjalani rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama tiga hari, dan Norhesham ada melawatnya.

Dia mendakwa, ketika lawatan tersebut defendan pertama (Norhesham) telah berulang-kali meminta maaf dan membuat pengakuan kepadanya bahawa beliau telah tersilap menembak Yeow.

Yeow turut menyatakan akibat tindakan Norhesham, beliau telah mengalami kesakitan di kedua-dua kakinya serta pergerakannya terjejas.

Dia menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas sebanyak RM14,000, ganti rugi teruk sebanyak RM100,000, ganti rugi teladan RM100,000 serta kos.

Ketika memfailkan saman tersebut, Yeow hadir di mahkamah bersama peguamnya Lim Lip Eng yang juga anggota Parlimen Segambut. -BERNAMA

Artikel Lain