suria

Wanita Malaysia Dituduh Seludup Dadah Ke Australia

MELBOURNE: Seorang wanita Malaysia berasal dari Kuching dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne semalam kerana dituduh cuba menyeludup masuk 1.5 kilogram heroin menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne pada Ahad.

Beatrice Laus Johie, 27, seorang jururawat, diperintah ditahan sehingga sebutan semula kes pada 9 Januari tahun depan.

Johie diberkas selepas pegawai-pegawai kastam menemui serbuk disyaki heroin dalam lapisan beg yang dibawanya dalam penerbangan dari Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 25 tahun dan/atau denda sehingga A$550,000.

Konsul Besar Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya, memberitahu Bernama bahawa beliau telah menghubungi Johie dan diberitahu oleh wanita itu bahawa dia tidak tahu menahu mengenai dadah yang terdapat dalam begnya itu.

Katanya Johie mendakwa kononnya dadah itu milik seorang kenalan yang sepatutnya mengiringi beliau tetapi menarik diri di saat-saat akhir dengan alasan dia menghadapi masalah visa.

"Saya tanya sama ada beliau memerlukan bantuan atau tidak tetapi katanya semuanya okay.

"Saya juga menghubungi ibu beliau di Kuching bagi memberi jaminan bahawa pihak Konsul akan cuba membantu Beatrice," kata Mohd Rameez. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain