suria

Peruntukan Dana: Dr Jeyakumar Fail Kebenaran Untuk Merayu

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu dengan Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penolakan permohonannya bagi mendapatkan dana Peruntukan Khas Kawasan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan pada 10 Oktober tahun ini bahawa Dr Jeyakumar tidak boleh mencabar keputusan agensi-agensi kerajaan yang menolak permohonannya bagi dana Peruntukan Khas Kawasan untuk pelbagai projek di kawasannya.

Permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini melalui firma guaman Tetuan Sreenevasan.

Tujuh persoalan undang-undang dikemukakan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan termasuk satu soalan mengenai peranan Peguam Negara dalam satu permohonan semakan kehakiman.

Pada 10 Oktober, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Peguam Negara untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi bagi membenarkan Dr Jeyakumar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan agensi-agensi kerajaan.

Mahkamah Rayuan memutuskan isu yang dibangkitkan Dr Jeyakumar melibatkan pertimbangan dasar dan kuasa mutlak pengurusan di mana mahkamah tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Dr Jeyakumar memfailkan tindakan undang-undang selepas permohonannya mendapatkan dana untuk sumbangan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Ihsan serta dana bagi projek kecil faedah Orang Asli, ditolak oleh pengarah berkenaan melalui sepucuk surat bertarikh 12 Oktober tahun lepas.

Dalam permohonannya, Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia, menamakan Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Jabatan Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden.

Jeyakumar menuntut antara lain perisytiharan bahawa peruntukan khas itu diberi kepada semua Anggota Parlimen secara sama rata, mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah mandamus agar mahkamah mengarahkan supaya pihak responden menerangkan kuasa mereka dalam meluluskan dana daripada peruntukan khas itu dan menyatakan prosedur pemberian peruntukan sejak 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain