suria

Perkukuh Kerjasama Banteras Ancaman Salahguna Dadah - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pertubuhan dan masyarakat antarabangsa memperkukuhkan kerjasama bagi membanteras penyalahgunaan dadah berikutan meningkatnya ancaman buruk dadah terhadap masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri berkata sangat penting bagi pertubuhan dan masyarakat antarabangsa untuk terus bekerjasama untuk mengenal pasti dan menyediakan mekanisme kerjasama serta inisiatif-inisiatif bagi menangani cabaran-cabaran rumit isu dan penyalahgunaan dadah.

"Meskipun telah banyak tindakan dilakukan, kita pasti lebih banyak usaha seumpamanya diperlukan. Kita mesti memperkukuhkan tindakan serta menggiatkan segala usaha secara agresif untuk membanteras dan menghapuskan penyalahgunaan dadah di kedua-dua peringkat individu dan antarabangsa.

"Hari ini, penyalahgunaan dadah jenis baru dan yang lebih kuat telah wujud. Generasi belia serta penduduk yang terpinggir atau mudah terjejas kekal berisiko," kata beliau semasa merasmikan persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO) ke-24 di sini, Selasa. Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dadah, berkata di peringkat kebangsaan, kerajaan telah mewujudkan hubungan erat dengan masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dalam program-program membanteras, pencegahan dan pembasmian penyalahgunaan dadah.

Muhyiddin berkata pada tahun 2010 dan 2011, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta bagi NGOs menyediakan rawatan dan perkhidmatan pemulihan serta sokongan kepada para penagih dadah.

"Hubungan antara kerajaan dan NGOs sangat rapat dan ini telah membantu banyak program-program usahasama dalam bidang rawatan dan pemulihan serta pendidikan pencegahan," katanya.

Beliau memberikan contoh Pusat Khidmat Rawat dan Prihatin (CCSC) di kawasan Chow Kit di bandar raya sebagai satu usaha kerjasama kerana kemudahan pusat itu dibiayai oleh kerajaan tetapi dikendalikan oleh sebuah NGO, Yayasan Salam.

"Sinergi ini adalah suatu hasil yang memberangsangkan kerana kami melihat ramai penagih dadah di kawasan itu pergi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada segi rawatan dan pemulihan, serta khidmat rujukan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam pendidikan pencegahan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan bekerjasama rapat dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bagi melaksanakan program, latihan sukarelawan bagi mengendalikan program pencegahan dadah serta mengenal pasti penagih dadah di kalangan masyarakat setempat.

Sempena ulang tahun ke-30 IFNGO, Muhyiddin menyampaikan anugerah kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan Rais dalam peranan dan usahanya membanteras penyalahgunaan dadah.

Rais merupakan pengasas IFNGO dan merupakan Presiden Charter pertama ketika ia ditubuhkan pada 1981. Sebuah buku mewah bagi memperingati IFNGO turut dilancarkan sempena ulang tahun berkenaan.

Sementara itu, Pesuruhajaya Tinggi Australia ke Malaysia Miles Kupa berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 6 peratus atau 250 juta penduduk dunia menggunakan dadah-dadah terlarang dengan jumlah dagangan haram dadah di seluruh dunia dianggarkan sebanyak RM300 bilion setiap tahun.

"Kini terdapat lebih separuh pengguna heroin adalah di Asia. Penyalahgunaannya meningkat di kawasan sekitar Afghanistan seperti Pakistan, Iraq dan Asia Tengah.

"Memburukkan lagi masalah ini, rantau Asia menempatkan kira-kira 20 juta orang yang menggunakan bahan peransang jenis amphetamine termasuk methamphetamine dan ecstasy serta jenis dadah sintetik lain," katanya.

Pada masa ini, INFNGO mempunyai 87 anggota berdaftar di 43 negara termasuk Australia, Bangladesh, Barbados, Brunei Darussalam, Kanada, Myanmar, Nepal, Filipina, Russia, Sudan, Iran, Itali dan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain