suria

Penjara Dua Tahun Balasan Untuk Penganggur Lari Dari Lokap

BANTING: Seorang penganggur yang berhadapan dengan tuduhan membunuh, diarahkan menjalani hukuman penjara maksimum dua tahun bagi kesalahan melarikan diri daripada lokap polis tempat dia ditahan reman bagi kesalahan tersebut.

Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Kher Tian Hock, 37, selepas menerima pengakuan salah tertuduh dan memerintahkan supaya hukuman berkenaan bermula pada Selasa.

Kher didakwa melarikan diri daripada jagaan anggota polis, Lans Koperal Marzuki Mohd Saad pada antara pukul 6.30 dan 7.30 pagi, 13 Mac 2004 di Balai Polis Tanjung Sepat, Kuala Langat, di sini. Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa kejadian, tertuduh yang bertubuh kurus itu sedang menjalani tahanan reman kerana didakwa membunuh seorang gadis, See Sheau Fang, 18, yang mayatnya dijumpai di dalam lubang bersimen sedalam 1.52 meter, tujuh tahun lalu.

Pada prosiding sama, Hurman menetapkan 16 Januari depan sebagai sebutan semula bagi tuduhan membunuh untuk mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.

Kher yang juga bapa kepada lima orang anak didakwa membunuh See pada antara pukul 11.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004 di rumah bernombor 44, Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang, Teluk Panglima Garang, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya K. Saravanan mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan mangsa mati dibunuh dengan cara ditimbus di dalam lubang yang digali dengan menggunakan jengkaut sebelum ditimbus dan disimen di hadapan rumah tersebut.

Mangsa dilaporkan hilang pada 26 Februari 2004 dan kali terakhir dilihat menaiki sebuah kereta untuk keluar makan lewat malam bersama beberapa rakan.

Tertuduh kemudiannya dilaporkan telah melarikan diri menerusi siling tandas di balai polis berkenaan, lima hari selepas dia ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Kher yang bergelar pelarian yang dikhendaki akhirnya berjaya ditangkap pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor selepas terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah.

Lelaki tersebut telah menggunakan identiti dan kad pengenalan baru bagi mengelak daripada dikesan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain