Pembunuhan Pelajar Malaysia Di Jawa timur Tiada Kaitan Motim Dendam - Semasa | mStar

Pembunuhan Pelajar Malaysia Di Jawa timur Tiada Kaitan Motim Dendam

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah mengklasifikasi kejadian pembunuhan pelajar Malaysia Adrian Jay Pereira sebagai kes jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan motif lain termasuk balas dendam. Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ludinata Misnun berkata polis Indonesia sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang tangkapan dibuat.

"Pihak Hospital Saiful Anwar, Malang, telah selesai menjalankan bedah siasat ke atas jasad Adrian pada pukul 2.45 petang waktu tempatan dan sedang menguruskan penyerahan mayat itu kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi di Malang.

Adrian, 23, ialah mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur.

Ludinata berkata hasil bedah siasat itu menyimpulkan bahawa kematian Adrian disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.

Katanya keluarga mendiang Adrian diwakili seorang bapa saudaranya dan seorang peguam untuk melihat keadaan mayat beliau di hospital itu pada Selasa.

Jasad Adrian akan dihantar pulang ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada pukul 10.40 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijadual sampai di KLIA, Sepang pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.

Ludinata berkata berdasarkan keterangan polis, kejadian yang menimpa Adrian bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya di bandar Malang, apabila beliau bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar kediaman mereka.

Adrian yang keluar menyiasat tidak menemui apa-apa yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.

Pelajar itu kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau di dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Adrian pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa serangan itu, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya. Polis percaya dua penjenayah terlibat dalam kes itu.

Seramai 173 pelajar Malaysia sedang menuntut di Malang, pada masa ini dan daripada jumlah itu 161 orang belajar di Universiti Brawijaya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

default image

Fama Belanja RM1 Juta Untuk Kontrak Ladang

default image

SAPS Untuk Nilai Prestasi Murid

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain