suria

Pemadam Cari Pendekatan Komprehensif Tangani Isu Keldai Dadah

KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) optimis dalam mencari pendekatan komprehensif bagi memerangi masalah isu "keldai dadah" terdiri daripada golongan wanita khususnya lepasan universiti dari negara ini.

Timbalan Presiden Pemadam, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz, berkata dua kertas kerja mengenai isu itu akan dibentangkan oleh wakil Malaysia pada Persidangan Persekutuan Antarabangsa Badan-badan Bukan Kerajaan (IFNGO) ke-24 di sini bermula Rabu.

Beliau memberitahu Bernama bahawa isu keldai dadah adalah antara masalah besar yang melibatkan belia yang mana mangsanya terdiri daripada golongan pelajar perempuan lepasan universiti.

"Mereka ini senang terperdaya. Lepasan universiti yang cemerlang dengan kelulusan kelas pertama, umpamanya, bersungguh-sungguh untuk ke luar negara mencari pekerjaan dengan kelulusan yang mereka ada.

"Keinginan ibu bapa yang mahu anak mereka bekerja di luar negara juga menjadi punca anak mereka terjebak dalam masalah keldai dadah," katanya.

Statistik Pemadam menunjukkan seramai 67 orang remaja Melayu merupakan mangsa keldai dadah pada tahun ini.

Persidangan IFNGO selama empat hari itu dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Australia Mengenai Dadah (ANCD) dengan kerjasama Pemadam.

Sebanyak 43 negara anggota IFNGO menyertai persidangan itu yang merupakan forum untuk pembuat dasar dan golongan profesional menggembleng kepakaran serta mencari langkah berkesan bagi memerangi dadah dan alkohol di benua Asia Pasifik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain